Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan
kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara
duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang
berhadapan dengan bapaku serta tuan imam.
Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku
akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernak kukenali pilihan
keluarga. Aku pasrah.
Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat
Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa
mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir
bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para
hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.
Ana dah jadi isteri! Bisik sepupuku sewaktu aku menadah
tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit
juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi
tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada
suamiku tatkala ijab kabul.